Tuesday, October 20, 2009

Sajak KONVO - 22 okt 2009

Segulung Anugerah Untuk Ibu
(dedikasi anak kepada seorang ibu)


Melangkah masuk ke dalam dewan ini
seakan gemanya meremang keseluruh tubuh
seakan ada satu rasa menyerap masuk keseluruh deria
harum wangi ini, suasana ini, mengimbau memori lalu
ketika ibu memakaikan aku persalinan pertama
dengan bedak dirata kemuka
kolar baju dilipatkan
butang baju dikenakan
rambut kemas disikatkan
kasut baru ditalikan
bekal makanan disediakan
itulah pengorbanan ibuku
mencipta harapan dan melakar impian
untuk anaknya mencapai kejayaan
dan detik itu
aku buntu untuk menjejak kaki ke sekolah darjah satu
tanpa tahu tuju dan hala tujua
untuk mengenal dunia baru


seawal pagi ibu bangkit
entah bila masanya ibu tidur
kerana acap kali aku terlena.. ibu yang dodoikan
kerana tiap kali aku membuai kenikmatan tidur.. ibu lah yang lenakan
kerana setiap kali aku tersedar.. ibu sudah berada disisi
tidak pernah terfikir akan waktu tidurnya
tidak pernah terlintas akan waktu bangkitnya
tidak pernah terdetik mengetahui makan minumnya
cukup cekal ibuku
menanam benih rasa yang bertunas kasih
menyiram pohon kasih yang berbunga sayang
mengharapkan bunga kembang mewangi
dan menghiasi halaman rumah
begitulah perumpamaan
betapa ibu senantiasa menjiwai anaknya
tika dalam apa sahaja cara
ibu tiada tara
tiada pengganti yang akan mengerti


Kronologi perjalananan kehidupan
bermula sedari kandungan lagi
9 bulan lamanya ibu membendung rasa
9 bulan ibu menggalas upaya
Melangkah dengan tertib dan teliti
Berjalan dengan perlahan dan bertahan
Agar kandungan terjaga dari sebarang malapetaka
Begitulah Ibu bergolak dengan nyawa
Ibu bertempur dengan perit
Ibu bertarung dengan sakit
Melahirkanku dengan senyum dalam tangisan

Kelangsungan hidup diteruskan
Rezeki berdua dikongsi bertiga
Berkat melaut nikmat dirasa
Membesarlah aku.. membelaiku tanpa jemu
Tika aku ditimpa demam kegeringan
Ibulah yang bersungguh
Menjelum anak rambut ke pusar kepala
Ibu sanggup bergalang nyawa
Demi hayat anaknya
Tika itu Ibu pernah berkata
Memohon agar ditukarkan nyawanya pada anaknya
Meminta agar sakit anaknya biarlah ibu yang menangung
Sedikitpun tak tergamak melihat anaknya
Yang mengetam bibir kesakitan
Selubung kesuraman


Bila kebah, sembuh sakit anaknya ini
Riang dan gembira anaknya seperti sedia kala
Tak pernah terfikir
Untuk melafaz kata “Terima kasih”
Biarpun semalaman ibu bersengkang mata menjaga
Memicit dan mengurut sendi lenguh anaknya
Hingga adakalanya ibu terlena sambil, duduk
berbantalkan lengannya
Dipangkuan ibu terasa kehangatan jemarinya yang masih tegar
Mendodoi dan berzikir melenakan anaknya


Bila masa menganjak kedewasaan
Ibu semakin senja menghitung usia
Sedang pembesaran anaknya semakin ketaka
Sudah pula pandai berkata – kata
Dan bijak menjawab
Petah membantah
Mencebik bila diherdek
Merajuk minta dipujuk
Berontak, meronta, bersungut
Itulah gelagat anaknya yang hanya kenal erti ‘ada’

Bila usia menjangkau belasan
Ibu semakin kurang kudrat, tandus upaya
Namun ibu masih kuat leternya
Sehingga sianak menutup telinga
Katanya bingit tidak kuasa
Disekolah, dirumah sama sahaja
Ibu juga dihukum salah
Ibu juga akan akhirnya mengalah
Ibu Cuma mampu berserah
Semata – mata menjaga hati anaknya
Kerana itu sahaja caranya
Ibu menitipkan kasih dan sayangnya
Biarpun jauh dalam hatinya.. Ibu terasa
Ingin juga dibelai, dimanja
Ingin juga bergurau senda
Namun ibu tak pernah meminta
Mahupun memaksa
Demi mahukan anaknya hidup selesa

Tahun berganti tahun
menganjak angka terus bertambah
aku sudah melangkah selangkah
menjadi pelajar disebuah kolej
diibu kota petaling jaya
tersergam indah bangunannya serba sederhana
ibulah yang menemaniku tika itu
dengan menggalas beg
ibulah yang mengekori aku pertama kali melapor diri
sebagai pelajar kolej kemahiran tinggi
ihsan MARA ikhlas memberi
perkasakan ilmu, bumiputera halusi

biarpun selang beberapa tahun cuma
aku mula merasa kerinduan pada ibu
leterannya
masakkannya
galak tawanya

pernah juga aku terlihat ibu kuterlena seketika
kupandang dan kurenung sedalamnya wajah ibu
kedut dimukanya adalah perit jerih pengorbanannya
sayu hatiku melihat ibu keletihan
masih gagah mengatur langkah
bila kupulang ke rumah
pasti tersedia sudah makanan kegemaranku
dijamah sedikit pun ibu pasti tersenyum
kerana cukup enak hasil air tangan seorang ibu
yang menjadi perasa
dan nikmatnya tidak terbanding dengan apa jua
juadah yang terhidang mewah

sebenarnya ibu
anakmu ini sayangkan dirimu
adakalanya tidak terzahir dengan ucapan
adakalanya tidak terlafaz dengan ungkapan
hakikatnya
anakmu ini sangat menghargai jasa dan pengorbananmu

mak
sempena hari pengaunegarah ini,
kuhadiahkan segulung diploma ini kepadamu mak
inilah sahaja hadiah yang mampu kuberikan
tak terbalas sedikitpun jasamu
tak terhitung banyaknya pengorbananmu
tak tertulis jutaan penat jerih kudratmu
tak tergambar titis airmatamu
tak ternoktah ingatan anakmu kepada dirimu ibu
tak terbayar segala penat jerihmu membesarkanku

Dikesempatan ini sebelum terlambat
ku susun jari sepuluh
mohon ampun dan silap
berikan jemarimu ibu
agar dapat aku kucup dan memelukmu
doakanlah anakmu ini
Berjaya dalam lapangan kerjaya dan kehidupan
juga doakan agar anakmu ini bahagia didunia dan jua diakhirat
halalkan air susumu yang menjadi basahan nadiku
restuilah kehidupanku dengan doamu..
terima kasih ibu
terima kasih mama
terima kasih umi
terima kasih ma
terima kasih MAK
apa jua panggilannya, ibu yang melahirkan anakmu ini
Cuma Satu
dan
sesungguhnya.. syurga itu ditelapak kaki ibu


Syamputra
21 okt 2009

No comments: